Hentikan beri lesen niaga kepada rakyat kahwin warga asing
Presiden Pertubuhan Majlis Bertindak Gabungan NGO Malaysia, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, apa yang berlaku sekarang ini ada warga asing menjadikan rakyat tempatan sebagai batu loncatan untuk menjalankan perniagaan.
Katanya, kebanyakan pihak berkuasa tempatan (PBT) memberikan alasan peniaga warga asing mempunyai lesen perniagaan menggunakan kapasiti isteri atau suami sebagai rakyat tempatan.
"Namun ramai yang tidak mengetahui bahawa semua hasil keuntungan perniagaan diperoleh akan dihantar ke negara asal.
"Fenomena ini juga secara tidak langsung menidakkan hak rakyat tempatan untuk berniaga apabila kebanyakan premis dibolot warga asing," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Bertindak Gabungan NGO Malaysia di Kluang, hari ini.
Menurut Mohd Ridzuan, kira-kira empat juta warga asing termasuk hampir dua juta yang tidak mempunyai permit sah tinggal di negara ini.
"Malah melalui peruntukkan sedia ada juga tidak membenarkan warga asing untuk berniaga walaupun mereka berkahwin dengan rakyat tempatan.
"Kalau isteri atau suami (rakyat tempatan) ingin berniaga mereka perlu berada di dalam premis dan menggaji rakyat tempatan sebagai pekerja," katanya.
